E-Skoba - #MenujuPRU15 > DAP buta Perlembagaan Persekutuan


KUALA LUMPUR - Kenyataan Lim Guan Eng yang berpendirian bahawa DAP mahu penukaran agama individu bawah umur kepada Islam hanya dilakukan dengan kebenaran kedua-dua ibu bapa membuktikan bahawa parti itu ‘buta’ Perlembagaan Persekutuan.

Hal demikian kerana, menurut Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan, perkara tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 12 (4) iaitu agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.
Sambil mengecam kenyataan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, Shahir malah menegaskan situasi ‘panas’ yang berlaku di Selangor ketika ini tidak seharusnya dipolitikkan.
“Ini kerana dalam Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan ada menyebut jika mana-mana undang-undang negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri dan undang-undang negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras.
“Justeru itu, Dewan Pemuda Ikatan menyokong usul Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk menyelaraskan undang-undang negeri dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Guan Eng yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata pendirian DAP bahawa penukaran agama individu bawah umur kepada Islam hanya boleh dilakukan dengan kebenaran kedua-dua ibu bapa mematuhi apa yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pendirian kita jelas. Kita mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa penukaran agama orang bawah umur perlu dipersetujui kedua-dua ibu bapa.
“Kita perlu hormati perlindungan yang diberi (kepada warga bawah umur seperti termaktub dalam) Perlembagaan Persekutuan,” katanya seperti dipetik portal Malaysiakini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Comments