Polemik Khat/Jawi
1. Bermula dengan polemik modul pembelajaran khat/jawi -
Hari Raya Aidiladha kali ini dihiasi dengan kenyataan pendukung kerajaan yang
cukup mengecewakan.
2. Ada yang mengaitkan pengenalan khat/jawi ini sebagai
langkah ke belakang. Ada yang mengaitkan usaha ini dengan najis lembu. Ada yang
mengatakan jawi menjadi bahan bacaan ‘porno’ semata-mata.
3. Ironinya, kenyataan dan sindiran negatif ini diucapkan
oleh ahli politik daripada satu parti sahaja, iaitu DAP. Demikian jahil,
bongkak dan angkuh ahli politik DAP ini. Mungkin ini cara mereka mengingatkan
orang Melayu - mereka sudah ada di koridor kuasa. Orang Melayu barangkali perlu
membiasakan diri dengan sindiran lebih kasar dalam masa terdekat ini!
4. Atas desakan pihak tertentu, keputusan memperkenalkan
khat/jawi terpaksa ‘dilentur’ kononnya atas dasar kerajaan yang prihatin dengan
maklum balas rakyat.
5. Melentur dan merubah keputusan ini lambang kelemahan
kerajaan yang sangat ketara. Inilah ‘deep state’ sebenar. Ada daulah dan kuasa
‘lain’ yang membuatkan kerajaan semakin caca marba. DAP inilah ‘daulah
terpendam’ kerajaan mutakhir ini.
6. Kita tidak mungkin lupa dengan ungkapan ‘guna Melayu
untuk skru Melayu’ yang juga pernah diungkapkan oleh seorang pemimpin DAP.
Melayu mana sebenarnya yang digunakan untuk menjahanamkan Melayu? Pastinya
parti politik Melayu yang bergantung harap dan kekuatan kepada sebuah parti
seperti DAP.
Insiden Buli Jalan Raya
7. Faham dendam dan kebencian dalam masyarakat semakin
melebar. Insiden kemalangan, walaupun pada asasnya bersandarkan kepada ‘buli
jalan raya’ pantas bertukar menjadi isu perkauman, jika tidak ditangani serius.
8. Dian Malika menjadi anak yatim dalam sekelip mata. Apa
pun puncanya, siasatan menyeluruh mesti dijalankan tanpa ada niat untuk
‘menyelamatkan’ sesiapa. Hukuman setimpal wajib dikenakan.
Menteri Perpaduan Yang Gagal
9. Menteri yang bertanggungjawab menjaga dan membugar
nawaitu integrasi, sudah menjadi ejen perpecahan. Tidak ada kata dan air muka
yang membangkitkan ketenangan. Yang ada, sikap Menteri sendiri yang menentang
pengenalan khat/jawi dan menolak idea perpaduan.
10. Kerajaan yang bijaksana dan bertanggungjawab perlu
mengurus segala isu ini dengan tuntas. Bukan menjadi asas kecelaruan.
11. Mereka yang gagal memahami semangat dan minda
‘nasional’ wajar cepat diketepikan. Jangan biar keangkuhan, kesombongan sesuatu
kumpulan/kaum yang kemaruk kuasa menjadi alasan negara ini terus berpecah.
Langkah pembetulan perlu bermula sekarang.
12. Sejujurnya, gema dan getar ‘Negaraku’ semakin melemah
kerana kegagalan kerajaan mengurus isu dengan tuntas. Memimpin bukan soal
menerima pengiktirafan di sana sini sedang negara sendiri berdepan masalah
serius akibat pentadbiran yang caca marba.
Reezal Merican Naina Merican adalah Ahli Parlimen Kepala
Batas dan juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan
tidak mencerminkan pendirian Utusan.
Comments