E-Skoba - #MenujuPRU15> Desak Ramasamy letak jawatan, DAPSY P. Pinang bidas Armada


PULAU PINANG - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) negeri memulangkan paku buah keras kepada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) negeri yang mendesak Dr. P. Ramasamy meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri susulan kontroversi isu khat Jawi.
Naib Pengerusi DAPSY negeri, Jason Raj berkata, tahap pendidikan atau pemahaman Armada negeri mungkin amat cetek sehingga tidak dapat membaca atau memahami maksud sebenar kenyataan Ramasamy.
Menurut beliau, Ramasamy langsung tidak membidas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan isu khat itu tetapi hanya memberi kritikan atau pandangan terhadap isu tersebut sekiranya dilaksanakan.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan apakah menjadi kesalahan untuk bersuara apabila kenyataan seperti yang dikeluarkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam isu berkenaan tidak wajar atau boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
"Armada Pulau Pinang jangan jadi 'besar kepala'. Apakah sumbangan Armada selama ini kepada para belia di Pulau Pinang?
"Adakah memadai setakat menganjurkan program lawatan ke hospital dan menggunting rambut yang tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada mana-mana pihak?
"Apabila Armada sendiri tidak mempunyai kapabiliti untuk melaksanakan sesuatu yang baik, mengapa pula mahu menjaga tepi kain orang? Kenyataan Armada jelas menjejaskan imej mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Armada negeri mendesak Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II meletakkan jawatan ekoran kritikannya berhubung dasar penulisan khat yang diperkenalkan Kementeri Pendidikan.
Armada negeri dalam satu kenyataan berkata, meskipun dengan portfolio itu, Ramasamy sehingga kini tidak menunjukkan sebarang inisiatif dalam memartabatkan sejarah dan warisan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kepada generasi muda di negeri ini.
Dalam pada itu, Jason turut mempersoalkan apakah makna konsep kerajaan baharu jika tidak dapat menerima pandangan atau kritikan daripada rakyat.
Katanya, kerajaan baharu tidak lagi boleh mempraktikkan sifat atau sikap UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang tidak akan membawa sebarang manfaat kepada Kerajaan Pakatan Harapan(PH).
"Rakyat mempunyai harapan menggunung terhadap Pakatan Harapan tetapi jangan pula jadi ibarat pepatah, sirih naik junjungan patah," katanya. - UTUSAN ONLINE

Comments