WAK paling rimas bila dari semasa ke semasa, suhu
berkaitan perkauman semakin panas. Kalau ada apa-apa kes libatkan dua kaum
berbeza, maka ada pihak melihat ia dari sudut perkauman.
Wak pun `panas
juga’ bila tengok ada individu semakin biadab dan dah macam tak hormat orang
Melayu. Macam-macam mereka cakap dan buat, kadang kala sampai pada tahap yang
Wak rasa sudah menguji kesabaran orang Melayu.
Tetapi Wak tahu orang Melayu tak mudah melatah, sampai
nak buat perkara bukan-bukan, mereka sentiasa bersabar, paling tinggipun
berderet-deret pi buat laporan polis. Bagaimanapun Wak nak nasihat la kepada
`kawan-kawan’, janganla selalu sangat
menguji sebab nanti macam-macam boleh jadi.
Wak bukan nak galak orang bergaduh tetapi cuma nak minta
semua orang berhati-hati apatah lagi apabila melibatkan sensitiviti kaum
tertentu. Contohnya dalam isu tulisan Jawi. Wak pelik pasal apa ada puak
melompat macam kera kena belacan! Kera terkejut pun tak mampu nak lompat macam
mereka lompat.
Yang paling tak masuk akal siap buat petisyen. Marah
betul mereka, bila kerajaan bertegas nak terus pelaksanaan pembelajaran Jawi.
Mereka lebih marah apabila kawan baik dalam kerajaan yang diharap jadi `taiko’
tak mampu buat apa-apa. Selama ini, mereka ingat kawan baik tu paling berkuasa,
maklumlah pegang jawatan kanan dalam Kabinet.
Sekarang mereka sudah kelam kabut, kawan baik mereka tak
boleh nak cakap banyak sebab tahu tulisan Jawi atau penulisan khat tiada kaitan
dengan agama, walaupun ia warisan orang Melayu.
Kalaulah ada puak alergi sangat dengan tulisan Jawi,
kenapa logo `halal’ keluaran JAKIM dalam tulisan Jawi berebut-rebut nak dapat,
sampai ada geng mereka yang mengamuk sebab lambat proses. Yang tu tak nak pula
lihat dari sudut `Melayu dan Islam’!
Bagi Wak, orang yang buta sejarah dan bersikap rasis
sahaja yang menentang pembelajaran tulisan Jawi. Kalau tak, mana mungkin mereka
menentang seolah-olah kalau belajar tulisan Jawi habislah anak-anak kaum lain.
Wak nak nasihatkan, puak-puak ni termasuklah ahli politik
mereka, janganlah melampau sangat. Wak yakin ramai lagi anak bukan Melayu yang
berminat belajar Jawi. Mungkin lepas ni kaligrafi Cina serta tulisan Tamil
boleh diperluaskan. Kalau itu dilaksanakan Wak percaya tidak ada orang Melayu
yang akan menentang apatah lagi melompat macam kera kena belacan.
Wak ada ramai kawan bukan Melayu, mereka bimbang dengan
apa yang sedang berlaku kepada negara
sejak selepas PRU-14. Wak faham maksud mereka. Cuma Wak nak pesan, kena
hati-hati jangan main atau bangkit isu yang ibarat `pasang bom jangka’ kerana
akhirnya ia pasti menghancurkan semua. - UTUSAN ONLINE
Comments