KUALA LUMPUR - Daripada memberi contoh tulisan Jawi dalam
buku lucah, adalah lebih baik untuk Ahli Parlimen DAP menerangkan sebaiknya
peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan bahasa
kebangsaan.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd. Fared
Mohd. Khalid berkata, selain itu, jelaskan juga bahawa Seksyen 9 Akta Bahasa
Kebangsaan 1967 menyebut "Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan
Rumi: dengan syarat ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih
dikenali sebagai tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan."
“Didiklah masyarakat kita perihal Perlembagaan
Persekutuan yang mana semua rakyat dilindungi hak di bawahnya.
“Ajarilah rakyat agar menghormati akta yang telah
ditetapkan agar keharmonian terjaga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari
ini.
Jelas Mohd. Fared, sebenarnya banyak lagi kaedah dan
contoh yang boleh digunakan dalam usaha menjelaskan perihal tulisan Jawi ini
kepada bukan Melayu.
Namun soalnya, kenapa pula buku lucah bertulisan Jawi
yang disibukkan sedangkan sepatutnya ceritalah perihal Jawi merupakan tulisan
di zaman pemerintahan kesultanan Melayu dan juga tulisan masyarakat Melayu di
Nusantara ini.
“Serulah dengan bersungguh-sungguh agar semua masyarakat
Cina di Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebaiknya,” ujarnya.
Dalam pada masa sama, Mohd. Fared mengingatkan janganlah
pula orang yang memberi maklum balas bertentangan dianggap sebagai 'pencetus
isu perkauman', sedangkan pihak yang memulakan 'cetusan isu perkauman' hanya
cukup meminta maaf dan seterusnya dimaafkan lalu dilupakan.
“Didik dan ajarlah rakyat dengan betul. Janganlah jadi
seperti bidalan "Bodoh tak boleh diajar, cerdik tak boleh diikut,"tegasnya.
- UTUSAN ONLINE
Comments