Pada tahun 1996 selepas Pilihanraya Umum 1995, apabila
Parti Semangat 46 menjadi semakin ektrem Melayu dengan mengubah menjadi Parti
Melayu Semangat 46, maka Gagasan Rakyat iaitu Gabungan Parti-Parti Pembangkang
yang terdiri daripada Parti Melayu Semangat 46, DAP, PRM dan IPF gagal
menangani isu-isu perkauman, lalu menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak, Gagasan
Rakyat pecah dan terkubur.
Selepas Pilihanraya Umum ke-11 pada tahun 2004, Barisan
Alternatif nama baru bagi Gabungan Parti -parti pembangkang yang terdiri
daripada PAS, DAP, Parti Keadilan Nasional dan PRM sekali lagi pecah dan
terkubur menjelang pilihanraya Negeri Sarawak apabila PAS dan DAP berbalah
secara terbuka dalam isu-isu yang melibatkan kaum dan agama.
Selepas bebas dari penjara Anwar Ibrahim telah menjelajah
ke seluruh tanahair untuk membina gabungan parti-parti pembangkang dalam
menghadapi Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008. Usaha gigih Anwar itu
membina asas Pakatan Rakyat dan buat pertama kali dalam pilihanraya Umum ke-12
tahun 2008 itu Barisan Nasional hillang kuasa di Selangor, Pulau Pinang, Kedah,
Perak, dan Kelantan. Anwar Ibrahim muncul sebagai tenaga yang menyatukan
parti-parti pembangkang pelbagai kaum dan agama itu.
Sekali lagi dalam pilihanraya umum ke-13 Anwar Ibarhim
menjadi tenaga penggerak membina Gabungan Pakatan Rakyat untuk tujuan mengambil
alih Kerajaan Persekutuan di Putrajaya. Walaupun Pakatan Rakyat gagal mencapai
tujuan itu tetapi buat pertama kali dalam sejarah Malaysia merdeka, Barisan
Nasional hilang majoriti dua pertiga di parlimen. Anwar Ibrahim dilihat sebagai
ancaman kepada Rejim Barisan Nasional. Lalu konspirasi politik yang jahat dilancarkan
untuk menyerang Anwar sehingga beliau dipenjarakan selama lima tahun di Penjara
Sungai Buloh.
Apabila berlaku vakum dalam kepimpinan Pakatan Rakyat
selepas PRU-13 dan selepas Anwar dipenjarakan dan sikap PAS yang semakin
ektreme dalam isu-isu berkaitan kaum dan agama, maka Pakatan Rakyat juga pecah
menjelang pilihanraya Negeri Sarawak yang diadakan berasingan dengan
negeri-negeri lain dalam Malaysia.
Kini isu 3 R (race,religion dan royalty) muncul kembali
di persada politik Malaysia, iaitu isu kaum, agama dan raja. Yang terkini
dilihat Tun Dr Mahathir Mohamaed selaku Pengerusi Pakatan Harapan dan Perdana
Menteri Kerajaan Persekutuan sudah seperti hilang punca dan hilang daya untuk
menghadapi kritikan-kritikan dari pelbagai pihak terutama dari Persekutuan
Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sehingga
menuduh Dong Zong sebagai pertubuhan rasis atau perkauman.
Sebagai seorang Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat
(Pakatan Harapan) yang turut menandatangani surat yang ditujukan kepada Yang
di-Pertuan Agong untuk memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir untuk dilantik
menjadi Perdana Menteri sebaik sahaja PH memenangi cukup majoriti untuk
membentuk kerajaan selepas PRU-14 pada 9 Mei 2018, saya berpendapat masa sudah
sampai untuk Tun Dr Mahathir Mohamaed berundur sebagai Perdana Menteri. Beliau
sudah jelas kelihatan tidak dapat menangani banyak isu dalam negara sekarang.
Untuk selamatkan Kerajaan Pakatan Harapan, saya percaya
tiada jalan lain ketika ini untuk elakkan PH supaya jangan pecah menjelang
Pilihanraya Negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi seperti apa yang
berlaku pada Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, saya
berharap dan memohon supaya Tun Dr Mahathir yang berjiwa besar mengambil langkah
yang berani seperti Sir Winston Churchil Perada Menteri British yang berundur
selepas berjaya membawa Britain dan Pihak Berikat memenangi Perang Dunia Kedua
mengalahkan Kuasa Paksi Fasis Jerman dan Jepun dan menyerahkan kuasa Perdana
menteri kepada pemimpin yang lain.
Tun Dr Mahathir Mohamaed akan tetap dikenang dan
dihormati kerana telah berjaya memimpin PH menumbangkan BN dalam PRU-14 dan
membentuk kerajaan baru PH melalui proses peralihan kuasa dengan aman dan
teratur. Tetapi perkembangan terkini dalam tanahair dengan munculnya isu-isu
yang banyak untuk memecahbelahkan rakyat, maka sudah sampai masanya proses
peralihan jawatan Perdana Menteri dari Tun Dr Mahathir kepada Anwar Ibrahim
dapat dilaksanakan dengan segera sekarang ini sekiranya Kerajaan Pakatan
Harapan hendak diselamatkan.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
***Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi
penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.
Comments