KOTA BHARU - Penasihat DAP, Lim Kit Siang patut menutup
mulut dan berhenti mengkritik Dr. Zakir Naik selepas gagal menghadiri program
pidato pendakwah itu di negeri ini, minggu lalu biarpun menerima undangan khas
pihak penganjur.
Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Datuk Che
Abdullah Mat Nawi berkata, Kit Siang boleh disifatkan hanya berani bercakap
dari jauh namun apabila diberi peluang untuk berhujah dengan Zakir secara baik,
beliau bertindak mensia-siakannya.
Tambah Che Abdullah yang juga pengarah program Pengarah
Program Dr Zakir Naik: The Kelantan Tour 2019, pihaknya menjemput Kit Siang
secara rasmi ke program itu ekoran kenyataan sinis pemimpin DAP tersebut yang
meminta Zakir pulang ke India secara sukarela.
"Jemputan itu sepatutnya diambil peluang oleh YB LKS
(Kit Siang) untuk menyatakan apa-apa ketidakpuasan hati dan (beliau) bolehlah
menyoal (Zakir) secara berdepan. Saya menyarankan beliau bawa pembantu kiranya
perlu untuk berhujah.
"Saya juga memastikan pihak urusetia menyediakan
kerusi untuknya di bawah khemah VVIP bersama Menteri Besar, barisan pimpinan
negeri, Ahli Parlimen dan ADUN. Lama kami menanti tapi beliau tak kunjung
tiba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan terbaharu semalam, Kit menggesa pihak
berkuasa mengambil tindakan terhadap Zakir kerana mencetuskan rasa tidak puas
hati masyarakat India apabila membandingkan nasib diterima penganut Hindu di
Malaysia dengan umat Islam di India ketika berucap di Kelantan.
Mengulas lanjut, Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen
Tumpat berkata, Kit Siang sepatutnya menyuarakan pandangan beliau itu ketika
program berlangsung, bukannya mengkritik dari jauh sebagaimana yang dilakukan
selama ini.
"Alangkah baiknya kira apa yang dikemukakan Kit
Siang hari ini (semalam), dikemukakan terus kepada Dr. Zakir Naik pada malam
tersebut kerana peluang seluas-luasnya dibuka kepada beliau untuk berhujah.
"Takut apa YB Ku?" soal Che Abdullah.
- UTUSAN ONLINE
Comments