E-Skoba - #MenujuPRU15 > Menteri Kabinet jangan melampau - Dewan Ulama Pas


KUALA TERENGGANU - Dewan Ulama Pas hari ini menyelar sikap melampau segelintir menteri Kabinet yang beterusan mahu pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik dihalau keluar dari Malaysia.

Ketua Penerangannya, Mohd. Nor Hamzah berkata, tiada sebarang sebab munasabah untuk kalangan menteri berkenaan mengusir Zakir Naik dari negara ini kerana pendakwah Islam terkenal itu memasuki Malaysia mengikut prosedur undang-undang yang sah.
Beliau turut mempersoalkan apakah disebabkan ucapan Zakir baru-baru ini yang menyebabkan gesaan itu timbul sedangkan, kenyataan tersebut dipetik di luar konteks dan didakwa telah dieksploitasi oleh media murahan.
"Jika begitu bagaimana pula dengan ucapan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran yang menghina orang Melayu sebagai pendatang? Penghinaan taikun perniagaan pro-kerajaan Pakatan Harapan (PH), Koon Yew Yin terhadap Jalur Gemilang dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)?
"Sikap ‘double standard’ segelintir menteri Kabinet ini hanya didorong oleh sikap rasisme dan kebencian mereka terhadap personaliti Zakir Naik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas gesaan ramai pihak termasuk pemimpin parti politik kerajaan agar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghantar Zakir Naik pulang ke negara asalnya.
Isu tersebut menjadi lebih hangat apabila terdapat pemimpin yang beragama Islam turut menuduh pendakwah itu memperlekehkan rakyat Malaysia.
Mohd. Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata, Zakir Naik bukan hanya berhujah dengan ilmu di pentas terbuka mengenai perbandingan agama, bahkan pendakwah itu tidak pernah memaksa masyarakat bukan Islam untuk memeluk Islam termasuk menghina anutan mereka.
"Jadi, mengapa menteri-menteri ini tidak mengambil kesempatan berdialog dengannya sewaktu beliau berprogram di Kelantan baru-baru ini?.
"Dewan Ulama Pas juga kesal dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf yang gagal memberikan kefahaman kepada sikap melampau segelintir menteri ini termasuk dalam isu tulisan Jawi. Beliau tidak memainkan peranan yang efektif, sebaliknya menikus mendiamkan diri di saat Islam diperlecehkan oleh orang lain," katanya. - UTUSAN ONLINE

Comments