KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago
menyuarakan kebimbangannya tentang pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Kata pemimpin DAP itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
sering membuat keputusan secara berseorangan dan seolah-olah mahu menunjukkan
beliau berkuasa walaupun datang dari parti yang kecil.
Beliau memberi contoh isu pengajaran seni khat Jawi di
sekolah yang timbul baru-baru ini, yang mana beliau mendakwa Dr. Mahathir
melakukan keputusan dengan sewenang-wenangnya.
“Saya pasti (Dr.) Mahathir dan Menteri Pendidikan, Dr.
Maszlee Malik tahu isu ini sensitif sebelum ia timbul lagi.
“Mengapa rakyat was-was dengan kerajaan (tentang isu
Jawi)? Kerana PH melindungi pendakwah kontroversi, (Dr.) Zakir Naik,” katanya
dalam kenyataan dalam laman Facebook miliknya hari ini.
Selain isu Zakir Naik, Charles turut mengaitkan situasi
tersebut dengan beberapa isu lain seperti penolakan terhadap Konvensyen
Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD),
Statut Rom dan kilang Lynas.
“Kerajaan ini tiada rekod yang baik untuk mendapat
keyakinan rakyat. Sebaliknya, rakyat berang, marah dan mengugut untuk tidak
mengundi kita pada pilihan raya akan datang. Saya faham kemarahan mereka.
“(Dr.) Mahathir sepatutnya sudah boleh membaca perasaan
rakyat ketika ini. Dan dia mesti faham bahawa keputusan secara
sewenang-wenangnya tanpa perbincangan tidak akan membawa dia jauh,” katanya. -
UTUSAN ONLINE
Comments