Banyak yang telah dibahaskan tentang khat Jawi di
Malaysia akhir-akhir ini. Yang jelas, isu ini telah begitu dipolitikkan
sehingga tersasar dari perkara sebenar.
Kita mesti jelas kenapa khat diperkenalkan. Yang pasti
bukan untuk tujuan Islamisasi. Islamisasi tidak memerlukan khat untuk
dilaksanakan.
Ia juga bukan persoalan tiada rundingan antara
Kementerian Pendidian dengan semua parti politik. Sejak bila kurikulum
pendidikan kebangsaan harus digubal melalui konsultasi dan restu politik? Biarkan
penggubal kurikulum kita dengan tugas mereka. Mereka punya kearifan yang kita
tidak miliki.
Khat juga bukan tentang ilmu yang lapuk. Mereka yang
menganggap khat tiada manfaat ilmu adalah mereka yang tidak memahami makna
ilmu.
Yang pasti, polemik dan isu ini memaparkan dengan jelas
satu perkara penting. Betapa di Malaysia, kita masih tidak jelas tentang dasar
pendidikan bagaimana yang diperlukan oleh negara ini.
Kita mesti mengembalikan pendidikan kepada landasan
sebenarnya, iaitu merangsang rasa ingin tahu (sheer curiosity). Apabila kita
mendedahkan pelajar di sekolah vernakular tentang khat, ia dilakukan bukan
untuk menjadikan mereka mahir dalam khat. Apatah lagi menjadi pakar jawi.
Ia dibuat untuk merangsang rasa ingin tahu dalam diri
mereka agar mereka berfikir dan mencari jawapan, kenapa khat dan jawi itu
sedemikian rupa. Apa kepentingan dan nilainya. Kita mesti menanam dalam diri
mereka, semangat ingin tahu ini. Kerana sains terbaik dan teknologi termaju
hanya terhasil dari rasa ingin tahu yang mendalam.
Episod khat ini menggambarkan perjalanan jauh kita untuk
menjadi negara maju, apatah lagi bangsa maju. Lihat sahaja naratif negara maju
yang kita digunakan - ‘negara berpendapatan tinggi’, ‘Harimau Asia’ dan
pelbagai lagi. Namun bukan ‘a highly developed society”
Kepada kebanyakan pihak, hanya coding, sains dan
teknologi, matematik dan Bahasa Inggeris akan menjadikan Malaysia dan rakyatnya
kompetitif. Tetapi mereka lupa, pembangunan Malaysia yang moden dan
terkehadapan menjangkaui spektrum sains dan teknologi.
Apakah kita lupa bahawa kekuatan sebenar Malaysia adalah
kemajmukan negara ini, bukan wibawanya dalam sains dan teknologi.
Pelabur ingin melabur di Malaysia bukan kerana Malaysia
mempunyai bakat terbaik dunia. Tetapi keyakinan mereka terhadap kestabilan
politik dan keharmonian kaum yang unik malah teruji dek zaman.
Telah tiba masanya Malaysia memikirkan kewajaran
memperkenalkan pendekatan pendidikan liberal (liberal education) seawal usia
pembelajaran. ‘Liberal education’ bukan bermaksud pendidikan tanpa pedoman
agama dan norma hidup. Tetapi, ia adalah sistem yang mengintegrasikan ilmu
kemanusiaan dan sastera dengan disiplin sains dan teknologi.
Rasionalnya kerana kita hidup dalam zaman ledakan
maklumat. Anak-anak hari ini menjalani kehidupan harian dengan gajet untuk
tweeting, googling ataupun e-mailing dan sebagainya.
Mereka celik teknologi. Tetapi mereka juga mesti faham bahawa
sains dan teknologi mesti bermanfaat untuk masyarakat. Kerana itu ilmu
berkaitan kemanusiaan, bahasa, kepercayaan agama, kerencaman budaya dan
pelbagai yang lain itu penting. Ia akan memberikan sains dan teknologi itu
dimensi manusiawinya.
Bayangkan kelak ‘manuskrip’ yang didigitalkan hanya
menjadi pameran kerana sudah tidak ada sesiapa yang mampu membaca dan memberi
makna kepada kandungannya. Bayangkan jika sejarah Malaysia diajar menggunakan
sains multimedia termaju tetapi tiada siapa berminat mempelajarinya kerana
bukan subjek kompetitif. Bayangkan bahasa Melayu menjadi bahasa picisan kerana
bahasa global bukan sahaja bahasa Inggeris, tetapi kod-kod pengaturcaraan dalam
komputer.
Kalau ini bukan tragedi kepada sebuah bangsa, dan kepada
sebuah negara, maka saya tidak tahu apa lagi makna ancaman kepada sebuah
peradaban.
Lalu, cabaran sebenar hari ini ialah membangunkan sistem
pendidikan terbaik untuk masa depan Malaysia. Sehingga saat ini, Menteri
Pendidikan, Dong Jiao Zong dan pelbagai pihak berkepentingan, masih tidak
memahaminya.
Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO
*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi
penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.
Comments