KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi
wajar didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan yang
mempersendakan tulisan Jawi apabila mengaitkan tulisan itu digunakan untuk
mengarang bahan pornografi.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Tengku Haphiz Tengku
Putera berkata, Shu Qi seolah-olah mahu mengundang kemarahan umat Islam di
negara ini dan keratan majalah 'suatu masa dulu' yang digunakan sebagai bahan
ceramahnya turut didakwa berniat jahat untuk membentuk persepsi buruk kaum Cina
terhadap orang Islam.
Katanya, selaku Ahli Parlimen yang menandatangani sumpah
jawatan dan setia, perbuatan Shu Qi sama sekali telah melanggar ikrar untuk
memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan negara.
"Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO negeri
menggesa Ahli Parlimen Kluang dikenakan tindakan mengikut Seksyen 4(1)(b)
dan/atau (c) Akta Hasutan 1948 atas kesalahan mengeluarkan kata-kata yang
menghasut dan menerbitkan atau mengeluarkan semula bahan-bahan/penerbitan yang
bersifat menghasut.
"Beliau seharusnya meletakkan jawatan sebagai Ahli
Parlimen kerana sengaja mengkhianati Perlembagaan yang menjunjung kedaulatan
perpaduan semua bangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jumaat lalu, Shu Qi dalam sebuah majlis dialog dengan
Persatuan Tiong Hwa di Kluang didakwa melakukan pembentangan menggunakan slaid
bagi menerangkan tulisan Jawi digunakan untuk menulis pelbagai jenis bahan
bacaan termasuk kitab Kristian dan bahan pornografi sekalingus tidak terhad
kepada penulisan agama Islam sahaja.
Tengku Haphiz berkata, tindakan Shu Qi mencerminkan
sikapnya yang tidak amanah dan sensitif terhadap rakyat Malaysia berbilang kaum
yang telah mengundi beliau dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
"Beliau dengan nada sinis turut menyatakan
masyarakat Islam pasti menolak tulisan Jawi kerana telah menghina agama Islam
dengan penggunaanya di tempat yang tidak sepatutnya.
"Persoalannya kenapa Yang Berhormat Kluang
bersungguh-sungguh mencetuskan api kemarahan umat Islam di negara ini sedangkan
umum mengetahui tulisan Jawi dahulunya digunakan secara meluas sebagai tulisan
rasmi Tanah Melayu," katanya.
Tengku Haphiz memberi contoh, masyarakat lama kaum
Tionghoa di Kampung Tiruk di negeri ini cukup mahir membaca makalah bertulisan
Jawi bahkan, mampu menulisnya jadi, untuk mengaitkan tulisan Jawi adalah milik
sepenuhnya orang Islam adalah tidak tepat kerana ia merupakan warisan turun
temurun komuniti Tanah Melayu pada masa itu. - UTUSAN ONLINE
Comments