KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago
belum matang dalam pengetahuannya pada selok belok urusan pentadbiran negara
sehingga sanggup menyelar kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof menarik perhatian,
seandainya Santiago dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam
sesuatu syarikat, `sah dia akan merujuk kepada stafnya untuk membuat
keputusan’.
“Dia mesti ingat Tun (Dr. Mahathir) telah diangkat
menerusi proses demokrasi dan diberi kepercayaan untuk menjalankan
tanggungjawab serta (ada barisan menteri) berpasukan di Kabinet.
“(Maka) kurang cerdik pendapat (Santiago) untuk Tun
(selaku Perdana Menteri) merujuk (setiap keputusan Kabinet) kepada majlis
Pakatan Harapan (PH).
“(Ini bermakna) tak perlulah ada jawatan PM kalau
mengikut pendapat Santiago.
“Santiago patut tahu, PM selalu mengambil kira
pendapat-pendapat daripada menteri-menteri Kabinet sebelum membuat sebarang
keputusan. Dan semua keputusan adalah kolektif dan konsensus,” tegas Mohd.
Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan kepada Utusan Malaysia pagi ini.
Semalam, Santiago dalam kenyataan menerusi laman Facebook
miliknya menyuarakan kebimbangannya tentang pentadbiran PH.
Kata pemimpin DAP itu, Dr. Mahathir sering membuat
keputusan secara berseorangan dan seolah-olah mahu menunjukkan beliau berkuasa walaupun
datang daripada parti kecil.
Beliau memberi contoh isu pengajaran seni khat Jawi di
sekolah yang timbul baru-baru ini, yang mana dia mendakwa Dr. Mahathir
melakukan keputusan dengan sewenang-wenangnya.
Selain isu Zakir Naik yang didakwa Santiago bahawa PH
melindungi pendakwah kontroversi itu, dia turut mengaitkan situasi tersebut
dengan beberapa isu lain seperti penolakan terhadap Konvensyen Antarabangsa
Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Statut Rom dan
kilang Lynas.
“(Dr.) Mahathir sepatutnya sudah boleh membaca perasaan
rakyat ketika ini. Dan dia mesti faham bahawa keputusan secara
sewenang-wenangnya tanpa perbincangan tidak akan membawa dia jauh,” kata
Santiago lagi. - UTUSAN ONLINE
Comments