KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff
Abdul Rahman mempersoalkan tindakan segelintir pemimpin DAP yang sangat
berlebihan menyasar Dr. Zakir Naik tanpa memahami ucapan penuh pendakwah
antarabangsa tersebut.
Menurut Abdul Latiff, setelah meneliti kenyataan 'penuh'
Zakir terhadap isu pengusiran 'pendatang lama' beliau berpendapat Zakir tidak
sepenuhnya memberi erti bahawa pendakwah itu bermaksud seperti difahami oleh
banyak pihak daripada hasil laporan media yang sengaja cuba mencetuskan isu.
Tambahnya, tindakan kerajaan India juga sebenarnya penuh
kekaburan dan tidak mempunyai bukti yang kukuh.
"Seperti diketahui, di Malaysia DAP merupakan sebuah
parti yang sangat 'bermasalah' dengan Islam. Mereka sering menyerang Islam
dengan pelbagai hujah dangkal yang tidak masuk akal.
"Dalam isu Dr. Zakir Naik, DAP sangat berlebihan dan
ternyata mereka tidak bersendirian dalam isu ini," katanya seperti dipetik
portal Harakah Daily hari ini.
Tambah Abdul Latiff, jangan dengan hanya memiliki kuasa
yang secebis, DAP telah cuba menunjukkan taring dan bak kata pepatah
sebagaimana ditegaskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang iaitu
'Diberi betis hendak peha'.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana
Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana bertegas dalam isu Dr. Zakir Naik.
"Kita selaku umat Islam wajib mempertahankan Dr.
Zakir Naik untuk kekal di Malaysia demi Islam walau dengan apa sahaja cara
sekalipun," ujarnya.
Menurut beliau, umat Islam perlu menunjukkan kepada DAP
dan bukan Muslim bahawa semua Muslim adalah bersaudara dan cintakan
keharmonian. - UTUSAN ONLINE
Comments