KUALA LUMPUR - Tindakan beberapa menteri yang membuat
kenyataan berbaur hasutan untuk mengusir pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik
dilihat berbahaya kepada negara.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
berkata, sentimen kebencian agama dan kaum di negara ini dilihat meningkat
kebelakangan ini, memburukkan keadaan ia turut dicetuskan oleh beberapa orang
menteri dan ahli politik kerajaan.
Menurut Tuan Ibrahim, tindakan ramai menteri Kabinet
mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk mengusir Dr. Zakir Naik juga
dilihat jelas bercanggah dengan tanggungjawab kolektif kabinet dan sengaja
membangkitkan amarah rakyat selain membelakangi pendirian kerajaan dan Perdana
Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Sentimen ini turut dicetuskan oleh beberapa orang
menteri dan ahli politik parti pemerintah sendiri dan dibiarkan tanpa dibendung
dengan baik. Rakyat melihat situasi ini tidak sihat dan boleh mengundang
konflik yang lebih kritikal pada masa akan datang.
“Seharusnya menteri memainkan peranan lebih efektif untuk
menenangkan keadaan dan memahami kemajmukan rakyat Malaysia. Semua pihak harus
melihat pelbagai isu mutakhir ini dalam kerangka yang lebih besar dan bukan
hanya mementingkan kaum tertentu sahaja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian
menjelaskan lagi, pembentukan Malaysia hari ini adalah didukung oleh tonggak
utama yang berpaksikan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja
Berperlembagaan, keistimewaan hak orang Melayu dan bumiputera dan Bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi negara.
Sehubungan itu, katanya, Pas mendesak agar kerajaan
memantau dan membendung mana-mana kumpulan termasuk di media sosial yang
semakin giat mempromosikan unsur rasisme dan ekstremisme sehingga dilihat
menggugat tonggak utama negara tersebut.
“Kerajaan mesti mengambil tindakan tegas
termasuk mengharamkan kumpulan ini bagi mengelakkan konflik perkauman yang lebih
kritikal pada masa akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Comments