Pengumuman Menteri Industri Utama, Teresa Kok bahawa
kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada
pekebun kecil adalah perkara yang zalim dan tidak adil.
Industri sawit telah dikenal pasti sebagai satu Bidang
Utama Ekonomi Baru (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi yang boleh
meningkatkan pendapatan negara menjelang tahun 2020.
Pekebun kecil merupakan penduduk luar bandar yang wajar
dibantu secara berterusan untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.
Semasa era kerajaan Barisan Nasional (BN), pada tahun
2018, kerajaan telah memperuntukkan RM140 juta untuk pembangunan dan penanaman
semua kelapa sawit dan RM200 juta untuk getah.
Sektor pertanian adalah sumber ketiga pertumbuhan untuk
ekonomi dan dibawah dasar kerajaan BN, industri sawit dijangka melonjak dari
RM53 bilion pada 2009 ke RM178 bilion menjelang 2020.
Kerajaan PH dilihat semakin meminggirkan kebajikan
golongan pekebun kecil. Harga sawit sebagai komoditi utama Malaysia semakin
hari semakin susut dan tiada usaha kerajaan untuk menstabilkannya semula.
Pekebun kecil kini terpaksa membuat pinjaman kepada
kerajaan untuk menanam semula melalui Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun
Kecil Sawit (TSPKS).
Kini, bantuan tanaman semula pula dihapuskan. Nasib
rakyat khasnya pekebun kecil dan penduduk luar bandar semakin hari semakin
tidak terbela dibawah pemerintahan kerajaan PH ini.
Pemuda UMNO mendesak supaya kerajaan mengembalikan semula
bantuan tanaman semula ini supaya nasib pekebun kecil dapat dibela.
Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
-UTUSAN ONLINE-
*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi
penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.
Comments