Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 landskap politik di
negara menghadapi satu perubahan yang besar. Ini kerana, buat julung kalinya
Barisan Nasional yang menjadi parti pemerintah selama lebih 60 tahun tumbang
kepada Pakatan Harapan yang menawarkan manifesto lebih populis kepada rakyat.
Tak apalah, usah dikenang lagi mengenai kekalahan itu.
Rakyat telah memilih dan membuat keputusan. Barisan Nasional pun dengan barisan
kepimpinan baharu telah mengambil pengajaran dan ikhtibar dengan apa yang
berlaku.
Sebab itulah, pelbagai perubahan telah dilakukan oleh
Barisan Nasional secara politik. Parti yang dulunya menjadi pemerintah, kini
dilihat semakin menyerlah mewakili rakyat sebagai pembangkang di peringkat
Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri.
Itulah komitmen Barisan Nasional kepada rakyat ketika
ini. Kita mahu menjadi pembangkang terbaik buat rakyat sesuai dengan aspirasi
Barisan Nasional untuk mengamalkan politik khidmat bakti kepada rakyat.
Pun begitu, dalam kesibukkan membela rakyat sebagai
pembangkang, Barisan Nasional tidak juga mengenepikan usaha untuk menjadi kekal
relevan bagi memastikan rakyat kembali memilih kami sebagai parti pemerintah
pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Antara tindakan pertama yang diambil adalah perpaduan
sebuah parti paling besar di negara kita yang juga merupakan komponen utama
dalam Barisan Nasional iaitu UMNO dan Pas (yang juga merupakan parti kedua
terbesar di negara ini).
Kedua-dua parti yang mewakili Melayu ini, sebelum ini
merupakan seteru yang hebat sejak sekian lama. Hari ini, segala perbezaan
mereka ketepikan demi keutamaan rakyat. Dan perpaduan UMNO–Pas ini digelar sebagai
Perpaduan Ummah.
Sejak itu, ramai yang tertanya-tanya terutamanya mereka
yang bukan daripada kalangan Melayu khususnya masyarakat Cina dan India. Apakah
Perpaduan Ummah ini akan mengenepikan hak mereka sebagai rakyat Malaysia?
Malah, ada dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan menjadikan usaha ini sebagai
modal politik. Kononnya ia bersifat rasis. Ada juga yang nakal menggelarkan
sahabat-sahabat saya di dalam UMNO dan Pas sebagai Taliban kerana usaha
perpaduan ini.
Sebenarnya, kami di Barisan Nasional iaitu MIC dan MCA
telah pun diberikan penerangan bahawa perpaduan ini tidak langsung hanya untuk
masyarakat Melayu semata-mata. Tetapi ia lebih kepada itu. Sebagai sebuah
masyarakat majoriti di negara ini, apabila Melayu bersatu hati, ia akan menjadikan
Malaysia lebih aman dan makmur. Jika ini berlaku, sudah pasti ia akan memberi
manfaat kepada kita sebagai masyarakat bukan Melayu.
Bila Malaysia makmur, pelabur akan lebih yakin untuk
melabur di sini. Bila ramai pelabur masuk di negara ini, sudah pasti ia akan
membawa lebih banyak peluang pekerjaan yang sudah pasti akan memberi manfaat
kepada rakyat pelbagai kaum.
Bagaimana pula jika adanya permasalahan sensitif
melibatkan masyarakat Cina, India dan lain-lain kaum di negara ini? Adakah
sekiranya menjadi kerajaan nanti, Barisan Nasional menerusi Perpaduan Ummah
dengan Pas, isu-isu ini dapat diselesaikan?
Jawapan saya kepada persoalan ini adalah sudah pasti
boleh. Ini kerana, semasa menjadi kerajaan selama lebih 60 tahun, Barisan
Nasional telah berjaya menyelesaikan isu sensitif tanpa melibatkan sebarang
ketegangan kaum melainkan sejarah hitam 13 Mei 1969 lalu. Itupun ia berlaku
kerana provokasi pembangkang ketika itu.
Saya yakin, cara rundingan tertutup yang diamalkan
kerajaan Barisan Nasional bersama pemimpin parti komponen yang mewakili semua
kaum di Malaysia akan mengekalkan kemakmuran di negara ini. Kita tidak akan
benarkan rakyat membangkitkan isu-isu sensitif tanpa sebarang kawalan. Kerana
kita percaya bahawa kebebasan bersuara itu ada hadnya.
Pas juga begitu. Selama lebih 29 tahun mereka menjadi
parti pemerintah di Kelantan, tidak pernah langsung mereka mengenepikan
masyarakat bukan Melayu di negeri serambi Mekah itu. Masyarakat kaum Buddha
bebas mengamalkan agama mereka. Masyarakat Hindu juga serupa, hak mereka untuk
beragama tidak pernah dihalang. Apatah lagi masyarakat Kristian, gereja-gereja
di Kelantan tidak pernah pula kita dengar diarahkan untuk ditutup.
Beberapa sahabat saya daripada Pas yang kebanyakkan
merupakan ilmuan Islam menerangkan kepada saya bahawa Ummah itu sebenarnya
bukanlah bermaksud Umat Islam sahaja. Ummah itu di dalam bahasa Arab sebenarnya
adalah masyarakat. Ini bermakna apabila disebut mengenai Perpaduan Ummah, ia
membawa maksud perpaduan masyarakat tidak kira kaum dan kepercayaan agama.
Malah, kata mereka, Islam mengajar mereka untuk sentiasa
berlaku adil dan berbaik-baik dengan sahabat dari kaum dan agama lain.
Maknanya, sama juga seperti agama lain. Tidak ada agama yang menganjurkan
kepada keburukan. Yang tidak baik itu datangnya pada individu dan mereka tidak
mewakili agama yang mereka anuti.
Dengan izin Tuhan, saya akan sentiasa mendokong
kepimpinan Barisan Nasional hari ini bersama-sama dengan Pas untuk menjelajah
ke seluruh negara bagi menerangkan kepada rakyat tidak kira kaum dan agama
mengenai kesediaan kami untuk kembali memerintah pada Pilihan Raya Umum akan
datang. Konsep Perpaduan Ummah ini akan kami jaja dan ceritakan kepada semua
bahawa kami komited untuk pertahankan hak rakyat daripada pelbagai latar
belakang agama dan kaum.
Jadi, rakyat janganlah takut. Perpaduan UMNO dan Pas
bukanlah seperti yang digambarkan. Dokongan Perpaduan Ummah ini sudah pasti
akan berteraskan aspirasi Perlembagaan negara kita yang sentiasa adil dan
saksama kepada semua kaum.
Malaysia ini negara majmuk. Sepatutnya apa sahaja
inisiatif perpaduan melibatkan apa sahaja kaum di negara ini, disahut positif
oleh semua. Saya yakin, konsep perpaduan UMNO dan Pas merupakan formula terbaik
untuk Barisan Nasional kembali ke Putrajaya.
Jika UMNO dan Pas serta komponen Barisan Nasional
mengenepikan hak masyarakat Cina dan India, saya sendiri akan menegurnya. Dan
sebagai seorang masyarakat India dan Hindu, saya sendiri akan bangkit
menentangnya. Tetapi, saya yakin itu tidak akan berlaku.
Kerana komitmen semua daripada kepimpinan hinggalah ke
akar umbi di Barisan Nasional dan Pas, kami mahukan Malaysia yang terus kekal
aman dan makmur. Kerana kami sayangkan rakyat berbilang kaum di negara ini. Dan
kami akan pastikan konsep Bangsa Malaysia akan terus dapat dipertahankan.
* Penulis ialah Ketua Penerangan MIC Johor
Comments