IPOH - PKR Perak akur dengan pendirian dua Ketua Cabang
parti itu yang enggan menandatangani surat sokongan terhadap Presiden parti,
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
berkata, pendirian Ketua Cabang Bukit Gantang yang juga Ketua Wanita PKR
negeri, Chua Yee Ling dan Ketua Cabang Bagan Serai yang juga ahli exco kerajaan
negeri, Abdul Yunus Jamhari itu merupakan amalan demokrasi.
"Jika sekiranya ada yang enggan memberikan sokongan
dan kemudian dipersoalkan oleh media atau ahli parti sendiri sebagai ingkar,
saya rasa itu hak mereka tapi persepsi negatif jatuh kepada mereka.
"Selaku Pengerusi PKR negeri, saya terima keenganan
Abdul Yunus dan Yee Ling walaupun saya tidak beberapa gemar namun inilah
demokrasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Farhash, surat sokongan terhadap Presiden parti
bertujuan untuk menjelaskan hasrat pucuk pimpinan dan akar umbi PKR yang
mahukan kesinambungan reformasi di bawah Anwar.
Kata beliau, sifat kepura-puraan dalam parti telah
menghasilkan polemik politik malah ini membuatkan beberapa ahli parti komponen
Pakatan Harapan (PH) tidak selesa.
Beliau berkata, Anwar tidak pernah sangsi dinobatkan
sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia ke-8 yang sudah termaktub di dalam
manifesto PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Namun ada segelintir pihak yang mempunyai muslihat
tersendiri sebagaimana yang disebut oleh Abdul Yunus untuk melagakan pemimpin
PH dengan Presiden.
"Tiada masalah sekiranya ahli parti ingin melafazkan
ikrar taat setia dan menyokong penuh Presiden demi merapatkan saf,"
katanya. - UTUSAN ONLINE
Comments