KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad
dan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menjadi sasaran Ahli Jawatankuasa
Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Prof. Dr. P. Ramasamy berhubung pelaksanaan
pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks di sekolah jenis kebangsaan.
Menurut Ramasamy, beliau sukar untuk mempercayai bahawa
Dr. Mahathir mahu memaksa pelaksanaan pembelajaran khat tanpa memahami
akibatnya dalam sebuah masyarakat yang terbahagi dan pelbagai seperti di
Malaysia.
Mengenai Maszlee pula, Ramasamy yang menulis di Facebook
beliau hari ini berkata, tidak ada gunanya bercakap mengenai Menteri Pendidikan
itu.
"Saya sukar untuk mempercayai bahawa Perdana Menteri
yang begitu moden dan mempunyai matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara
maju mahu memaksa penguatkuasaan pelaksanaan khat tanpa memahami akibatnya
dalam masyarakat yang terbahagi dan pelbagai seperti di Malaysia.
"Tak ada gunanya bercakap tentang Menteri Pendidikan
yang bukan sahaja merosakkan kemasukan matrikulasi tetapi telah menegur bukan
Melayu kerana tidak memberikan peluang yang sama kepada orang Melayu dalam
sektor swasta," tulis Ramasamy.
Ramasamy turut menyindir Maszlee yang dianggap telah
hilang kredibiliti namun mempunyai keberanian untuk menyatakan bahawa khat
tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan agama Islam.
Dalam hantaran tersebut Ramasamy juga berkata, cadangan
memperkenalkan kaligrafi khat di sekolah tanpa sebarang perundingan dengan
pihak yang berkepentingan boleh diibaratkan sebagai 'meletakkan pedati di
hadapan kuda'.
"Isu di hadapan kita adalah kenapa kerajaan begitu
bersemangat untuk melaksanakan khat tanpa konsultasi yang betul.
"Sekiranya langkah ini disepadukan dalam sukatan
pelajaran sekolah rendah semasa pentabiran Barisan Nasional kenapa secara
membuta tuli kini dilaksanakan. Mengapakah dasar BN yang tidak betul telah
diterima secara tidak kritikal?" tanya Ramasamy.-UTUSAN ONLINE
Comments