MARANG - Pas amat
berpuas hati dengan hasil perbincangan setakat ini antara parti itu dan UMNO
berkaitan pembahagian kerusi bagi
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang disifatkan satu perkembangan
yang sangat baik dan positif.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas dan
UMNO sudah mencapai persepakatan untuk penyatuan setelah kedua-dua belah pihak
telah melalui serta belajar dari pengalaman sejarah politik yang lalu selain
mengutamakan kepentingan untuk menyelamatkan negara dan Islam.
Berdasarkan perkembangan itu, katanya, Pas akan
memastikan pembahagian kerusi antara dua parti Melayu itu dilakukan sebaik
mungkin sekali gus mengelak sebarang pertembungan bagi menghadapi PRU akan
datang.
"Kita nampak perbincangan sangat baik, UMNO ambil
iktibar dari kejatuhannya dan kita telah biasa hadapi pilihan raya begini.
Jadi, kedua-dua ini kita kena campurlah. Pengalaman Pas yang seringkali hadapi
kekalahan, UMNO pula ambil iktibar dari kejatuhannya.
"Dua-dua (Pas dan UMNO) ini ada pertemuan apatah
lagi untuk kepentingan Islam dan selamatkan negara. Kedua-duanya terima
pendekatan iaitu kepemimpinan Melayu Islam dan juga terima hakikat masyarakat
majmuk, sebab itulah kita sepakat. Sekarang ini sudah ada respons dari MIC, MCA
dan Gerakan pun ada, respons sangat positif," katanya.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan
perkara itu kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya sejurus selesai
mengadakan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.
Mengulas lanjut kemungkinan berlaku pertembungan kerusi,
beliau menjelaskan, kedua-dua belah pihak perlu saling bertolak ansur dengan
mengambil kira segala kepentingan bersama sebelum pembahagian kerusi
dimuktamadkan kelak.
"Kita akan berusaha tidak ada pertembungan (kerusi),
ada tolak ansur dan tak banyak masalah sekarang ini. UMNO dah menang kerusi,
Pas pun dah menang. Kerusi parti lain pun dah menang, itu boleh dibincang.
"Pas dan UMNO yang pernah menang dulu pun semua itu
kena ambil kira, begitu juga kena ambil kira tempat yang ada penyokong UMNO dan
penyokong Pas. Kedua-dua pihak kena berbincang, alhamdulillah," tambahnya.
- UTUSAN ONLINE
Comments